MALAYSIA semakin hampir untuk mengakhiri kemarau 14 tahun melangkah ke final Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Suzuki 2010 selepas menewaskan Vietnam 2-0 pada perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.
Kedua-dua gol Malaysia itu dijaringkan penyerang Selangor, Safee Sali pada minit ke-60 dan 79 bagi memberikan bekalan selesa untuk aksi kedua di Stadium My Dinh, Hanoi pada Sabtu ini.
Beraksi di hadapan 50,000 penyokong sendiri serta 3,000 penyokong Vietnam, aksi kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama kurang ‘keganasannya’.
Namun, kapten Vietnam, Nguyen Minh Phuong menghadirkan bahaya menerusi rembatan kencang dari luar kotak pada minit ke-15 dan sepakan percuma minit ke-44 tetapi penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat cemerlang menafikannya.
Corak permainan Malaysia berubah sebaik babak kedua bermula setelah jurulatih kebangsaan, K. Rajagobal memberikan arahan dan strategi terbaru di bilik persalinan ketika waktu rehat.
Gol yang dicari menjelma pada minit ke-60 menerusi tandukan kencang Safee hasil sepakan percuma kapten, Safiq Rahim dari sebelah kanan yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Vietnam, Bui Tan Truong.
Bagi menambah sengat di barisan depan, Rajagobal memasukkan Amri Yahyah bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-67.
Perubahan tersebut berhasil apabila gol kedua Malaysia hadir, sekali lagi dijaringkan oleh Safee pada minit ke-79.
Biarpun Vietnam cuba mengasak gawang Malaysia pada 10 minit terakhir permainan, namun Khairul Fahmi tetap sukar ditewaskan.
Satu lagi aksi separuh akhir pertama akan menemukan Indonesia dengan Filipina akan berlangsung di Gelora Bung Karno, Jakarta malam ini.kosmo
No comments:
Post a Comment